TERKINI: DS Jamal Hilang, Lesap Dari Hospital..

KETUA UMNO Bahagian Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos kini menjadi buruan polis selepas menghilangkan diri dari Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, petang tadi.

Beliau sebelum itu didakwa atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu, ketika menerima rawatan di hospital sama pada 10.45 pagi tadi.

Difahamkan, kehilangan Jamal disedari Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang datang ke hospital itu pada 5.30 petang.

Jamal dikatakan tiada di bilik wad, namun peguam dan penjaminnya masih berada di hospital berkenaan.

Peguam Jamal mendakwa beliau didapati hilang sejak 3 petang selepas kesnya didengar Majistret Raja Noor Dilla Raja Mahyaldin dan diberi jaminan sebanyak RM3,000.

Susulan itu, operasi sekatan jalan raya dilakukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi mengesan Jamal.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.

“Beliau (Jamal) didakwa atas tiga pertuduhan hari ini di hospital berkenaan dan majistret menawarkan ikat jamin RM3,000 untuk setiap kes.

“Sementara proses dokumentasi jaminan mahkamah sedang berjalan, Jamal sudah meninggalkan kawasan hospital terbabit.

“Beliau akan dihubungi semula untuk menyelesaikan proses dokumentasi jaminan mahkamah berkenaan,” katanya.

Jamal didakwa di hospital

KETUA Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos yang mengalami sakit belakang terpaksa didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri, Ampang, hari ini, atas tuduhan melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin yang diiringi jurubahasa mahkamah dan pegawai penyiasat, tiba di wad premium hospital itu untuk membacakan tuduhan terhadap Jamal, 48, pada 10.45 pagi.

Media tidak dibenarkan masuk ketika prosiding selama setengah jam itu malah, pintu masuk ke wad berkenaan turut dijaga oleh pengawal keselamatan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Jamal didakwa melakukan mudarat awam dengan memecahkan sejumlah botol arak dengan menggunakan penukul besi sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di hadapan pintu pagar keluar pos 1, Bangunan SUK Shah Alam, 10.15 pagi, pada 5 Oktober 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum denda maksimum RM400.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Megat Mahathir Megat Afendi, manakala Jamal diwakili peguam Mohd Nasir Yusof.

Katanya, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 8 Jun ini untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Shah Alam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *