“Jazlan dan Khairy ‘cakap banyak’ selepas Najib tumbang” – Khairuddin

PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan membidas pemimpin Umno Khairy Jamaluddin dan Datuk Nur Jazlan Mohamed kerana “bercakap banyak” selepas Datuk Seri Najib Razak ditumbangkan.

Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) berkata kedua-dua bekas menteri itu “pengampu tegar” semasa Najib berkuasa.

Beliau berkata tindakan mereka hanya menunjukkan mereka tidak boleh dipercayai sama sekali kerana “hidup mereka penuh dengan kepura-puraan”.

“Inilah dasar manusia hipokrit. Bila bos dah jatuh tersungkur mereka baru berani cakap banyak untuk dapat publisiti murahan.

“Kalau jumpa ular tedung dengan Nur Jazlan serta Khairy Jamaluddin, sila palu kedua-dua mereka terlebih dahulu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk kepada satu temubual Khairy pada 15 Mei lalu yang mendedahkan penyesalan kerana tidak memberitahu perkara sebenar kepada Najib tentang tentang akar umbi menolak Umno selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Shafie Apdal disingkir kerana bercakap tentang 1MDB.

Khairy yang merupakan salah seorang daripada hanya 54 Ahli Parlimen Umno yang bertahan pada pilihan raya lalu berkata, dia akan menanggung kesilapan itu sepanjang hidupnya.

Nur Jazlan hari ini pula mendedahkan Najib enggan meletak jawatan sebagai presiden Umno selepas kekalahan besar parti itu pada pilihan raya 9 Mei lalu sehinggalah dia dipaksa meletakkan jawatan.

Khairuddin mengingatkan mereka akan tindakan yang diambilnya selepas menerima maklumat tentang skandal melibatkan 1MDB.

“Kita tak perlu beretorik. Saya tak cakap banyak pun. Cuma terus buat laporan polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Bank Negara dan Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Khairuddin sekali mengingatkan Nur Jazlan dan Khairy kuat membela Najib pada waktu itu.

“Bila pihak penguatkuasa undang-undang tak berani bertindak ke atas Najib, maka saya terbang ke Singapura, Hong Kong, Perancis, Switzerland, United Kingdom dan Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat untuk membuat laporan kemungkaran Najib,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *